Rabu, 27 Januari 2021

DENGARLAH BISIKAN HATI

 SALAH satu kelemahan paling ketara kita manusia tidak mahu mengikut suara hati. Kita tak pernah percayakan suara hati kita sendiri sedangkan suara hati kita tidak pernah menipu.

Kita lebih percayakan apa yang kita lihat dengan mata dan apa yang kita dengar dengan telinga kita sedangkan mata dan telinga kita boleh menipu kita.


Oleh kerana blog ini membicarakan soal cinta sesuai dengan namanya CITRA CINTA maka kita lihat di sudut itu. Misalnya apabila kita bertemu dan mengenali sesaorang kita rasa suka sangat dengannya. Kita ingin mengenalinya dengan lebih dekat malah jauh di sudut hati kita ingin memilikinya.

Namun kita tidak berani bersuara. Kita tak berani menyatakan apa yang kita rasa walaupun hati kecil kita menyuruh kita menyatakannya. Mungkin juga kita merasakan diri kita lemah dan serba kekurangan sedangkan dia hidup penuh bergaya.


Mana mungkin orang yang serba lemah dan kekurangan ini berhasrat menjalin hubungan dengan orang yang hidup berjaya dan bergaya. Namun hati kita terus mendesak walaupun kita memang ingin saja mengikut kata hati kita tapi kita tewas dengan keadaan diri kita.

Kalau kita amati dan renung sikapnya memang amat baik dan amat prihatin  dengan kita. Berdasarkan sikap itu kita merasakan berkemungkinan besar kita mempunyai peluang.

Sekali lagi kita menafikan bisikan hati apabila fikiran kita merasakan dengan membuat andaian sikap baiknya itu adalah sifat semulajadinya dan dia memang begitu dengan semua orang. Apabila pemikiran itu memenuhi minda kita maka hasrat hati yang berbaur itu lenyap begitu saja.

Sesekali hati kita tetap berdetik, dia juga memang sukakan kita. Cuma dia malu nanti dikata perigi mencari timba. Persoalannya apa yang hendak dimalukan, Siti Khadijah yang melamar Nabi MuhammadSAW. Berdasarkan  sirah dan sunnah Rasulullah SAW sikap itu tidak salah di sudut agama sikap.

Berkemungkinan kita dibelenggu dengan pandangan masyarakat yang nampak kurang manis. Peduli apa pandangan masyarakat asalkan di sudut agama tidak salah. Mungkin dia tidak terdaya menghadapi semua kemungkinan itu.

Kita tahu dan kita sedar bahawa bisikan hati kita tulus. Hati nurani kita tidak akan pernah berbohong. Lebih-lebih lagi kita sering memberikan hati kita makanan dengan berzikir dan beristigfar.

Lalu hati kita berkata, kenapa kita saja yang memulainya? Fikiran kita sekali lagi mengalahkan bisikan hati nulani kita, mana mungkin! Dia merak di kayangan sedangkan kita hanya gagak di rimba. Merak di kayangan tak mungkin akan bergandingan dengan  gagak di rimba.

Hati nurani terus berbisik, “Kalau begitu sikap kamu walaupun  memang dia milik kamu tapi lantaran kamu tidak berusaha maka dia tidak akan menjadi milikmu.”

Begitulah  sikap rata-rata kita yang bernama manusia tidak mempercayai bisikan hati nurani sendiri. Bisikan halus hati nurani kita sering dikalahkan oleh pemikiran dan andaian kita.

Jadi sekiranya memang kita tidak yakin dengan bisikan hati nurani kita sendiri maka kita lipat gandakanlah berzikir dan beristigfar dan mendidik hati nurani kita dengan sifat mahmudah seperti ikhlas, rendah diri, zuhud agar tidak mudah dipengaruhi oleh nafsu supaya kita dapat mempercayai bisikan hati nurani kita yang tulus itu dengan penuh keyakinan.


TERIMA KASIH KERANA MENGIKUTI ARTIKEL INI DAN KALAU ADA          KELAPANGAN SAYA MOHON IKUTILAH JUGA YOUTUBE DARI CHANNEL SAYA INI.

KALAU BERMINAT BOLEH JUGA BERKARYA BERSAMA BLOGGER. CERPEN DAN PUISI YANG DISIARKAN DI SINI DAN BLOG-BLOG LAIN BLOGGER AKAN  DIPERTIMBANGKAN UNTUK ANTOLOGI APABILA CUKUP JUMLAHNYA. SELAMAT BERKARYA.



Tiada ulasan: